Penulisan Ilmiah

JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK MURID SEKOLAH RENDAH DARI
SEGI LOKALITI
Zurakhma Zanariah binti Zolkifli
D20101037403
Universiti Pendidikan Sultan Idris

1.0)            Pengenalan

“… merapatkan jurang pendidikan yang merangkumi jurang diantara bandar dengan luar bandar, jurang di antara yang miskin dengan yang kaya, jurang digital dan jurang antara mereka yang berkeperluan khas; agar tidak ada sebarang golongan yang tercicir dari aras pembangunan negara.”
( YB Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein,
Perutusan tahun baru, 2006)

Jurang pencapaian matematik murid sekolah rendah wujud antara lokaliti, jenis sekolah, kaum jantina, budaya, taraf sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Jurang ini telah menyebabkan perbezaan pencapaian matematik pelajar, penyediaan kemudahan fizikal serta keciciran pelajar. Kesan jurang pendidikan telah menyumbang kepada keadaan tidak seimbang yang ketara daripada segi sosioekonomi antara penduduk luar Bandar dan Bandar. Pembangunan pendidikan di Malaysia pada peringkat awal tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar dan kawasan pertumbuhan ekonomi utama negara . Sekolah-sekolah di luar bandar dibekalakan dengan kemudahan bangunan dan peralatan yang baik dan lengkap, guru terlatih dan sumber mencukupi. Sebaliknya, peluang menikmati pendidikan bagi penduduk di luar bandar dan pendalaman amat terhad. Pada masa itu keutamaan lebih tertumpu kepada usaha memastikan lebih ramai pelajar mendapat pendidikan berbanding dengan kualiti pendidikan yang disediakan. Mendekatkan jurang dalam keberhasilan pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar merupakan satu daripada matlamat pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2013-2025). Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, jurang pencapaian antara Bandar dan luar Bandar tetap akan ada tetapi harapan kerajaan adalah untuk mengecilkan jurang tersebut.  Menurut laporan (PPPM,2013-2025), walaupun kemajuan jelas tercapai dalam beberapa dekad lalau, namun Kementerian Pendidikan berhasrat mengecilkan jurang pencapaian sekolah Bandar denagan luar bandar sehingga 50 peratus menjelang 2020. Terdapat tiga faktor yang telah mempengaruhi jurang pencapaian antara kawasan Bandar dan luar Bandar iaitu Infrastruktur dan peralatan, penempatan guru dan sokongan ibu bapa dan masyarakat.


2.0)            Definisi dan istilah
2.1)            Bandar
Menurut kamus dewan edisi ke-4, Bandar ialah tempat atau pusat yang ramai penduduknya yang terdapat banyak urusan dan perniagaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Bandar ialah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepubina yeng bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk seramai 10,000 atau lebih semasa Banci Penduduk 2010.

2.2)            Luar bandar
Menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, kawasan  desa merupakan kawasan selain daripada kawasan Bandar ia merupakan petempatan yang meliputi semua jenis kampung oleh penempatan kecil yang kurang daripada 10 ribu orang penduduk dan bercirikan kawasan pertanian serta kawasan sumber alam semula jadi.

2.3)            Jurang Pencapaian
Menurut kamus dewan edisi ke-4, jurang membawa maksud perbezaan yang membezakan satu generasi dengan generasi yang lain. Pencapaian pula ialah apa yang telah dicapai (dihasilkan atau diperolehi), prestasi. Oleh itu, jurang pencapaian ialah perbezaan yang prestasi yang telah dicapai.

2.4)            Matematik
Menurut kamus pelajar edisi ke-2, matematik ialah pengetahuan mengenai nombor, bentuk, susunan, hubungan dan lain-lain dengan menggunakan simbol. Menurut Mok Soon Sang (1996), matematik ialah satu cara berfikir, kajian pola, kajian perhubungan, satu seni dan bahasa tersendiri, satu alat dalam kehidupan soaial dan rekreasi manusia.

2.5)            Sekolah rendah
Menurut kamus pelajar edisi ke-2. Sekolah rendah ialah sekolah untuk kanak-kanak daripada darjah 1 hingga darjah 6.


3.0)            Faktor yang mempengaruhi jurang lokaliti

3.1)            Infrastruktur

a)      Jurang digital
      Jurang digital ialah pebezaan daripada segi akses kepada kemudahan ICT antara lokasi dan penguasaan kemahiran ICT dalam kalangan pelajar dan guru, (PIPP, 2006-2010). Jurang digital merujuk kepada ketaksamaan peluang mengakses Teknologi maklumat dan komunikasi di antara kawasan luar bandar dan bandar.  Pada tahun 2005, terdapat 5077 buah sekolah di luar bandar.Sekolah rendah di luar Bandar khususnya masih mengalami masalah kekurangan infrastruktur serta kemudahan pendidikan. Terdapat 5951 sekolah rendah berusia melebihi 30 tahun dan memerlukan penyelenggaraan tinggi (PIPP,2006-2010)

Bilangan sekolah rendah yang kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas

      Dalam kalangan sekolah tersebut, terdapat 767 buah sekolah rendah yang masih belum mempunyai bekalan elektrik. Janakuasa yang dibekalkan pula berkuasa rendah dan tidak mencukupi untuk menampung penggunaan ICT di sekolah, di samping menghadapi kesukaran mendapatkan diesel terutama di sekolah-sekolah yang jauh di pedalaman. Kawasan luar bandar juga mempunyai masalah capaian internet dan kemudahan ICT. Kebanyakkan sekolah di pedalaman masih tidak mempunyai makmal komputer. Selain itu, guru juga tidak mendedahkan pelajar dengan penggunaan perisian matematik. Menurut Pisapa (1994), integrasi ICT dalam PdP bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Terdapat beberapa perisian matematik yang boleh diterokai pelajar untuk membantu pelajar dalam memahami sasuatu konsep matematik. Berbanding dengan di bandar, guru-guru lebih mendedahkan pelajarnya dengan peralatan teknologi atau perisian matematik. Oleh itu, pelajar di bandar lebih mempunyai pengetahuan dan pemahaman konsep matematik dengan lebih mendalam.

b)      Kekurangan bahan bantu mengajar
     
      Menurut Long (1982), Bahan Bantu Mengajar (BBM) terdiri daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh di sampaikan dengan pelbagai cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau dibubuh pada slaid dan dipancarkan pada skrin. Alat-alat penyampaiannya dinamakan BBM. Oleh itu BBM boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu media elektronik (filem pelajaran, overhead projector (OHP), pita video, radio, pita rakaman, CD, komputer dan internet), media bukan elektronik ( suara, gambar, carta, model, surat khabar, papan hitam, papan magnet dan buku) dan bahan bercorak pengalaman (lakonan, lawatan, projek, pameran, bahan maujud).
     
      Sekolah di kawasan luar Bandar kurang mempunyai kemudahan BBM seperti OHP,model-model dan alat matematik yang lain. Oleh itu guru cenderung untuk mengajar pelajar menggunakan cara tradisional sahaja. Pelajar luar bandar juga mengalami masalah pemahaman konsep matematik disebabkan pengajaran guru yang tidak menarik. Selain itu, cara pengajaran guru juga hanya pengajaran satu hala sahaja pelajar lebih banyak mendengar penerangan guru tanpa mereka meneroka sendiri konsep matematik tersebut.

3.2)            Penempatan guru

a)      Taburan guru terlatih yang tidak sekata

      Kementerian Pelajaran Malaysia telah menghadapi kesukaran menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman, terutamanya bagi mata pelajaran di kawasan luar Bandar dan pendalaman, (PIPP, 2006-2010). Mata pelajaran kritikal ialah mata pelajaran matematik, sains dan bahasa inggeris. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Abdul Rasid Abdul Razzaq berkaiatan “kesediaan guru pelatih terhadap penempatan di sekolah bukan pilihan”  didapati sebanyak 49% daripada keseluruhan responden memilih  untuk ditempatkan untuk mengajar di negeri tempat tinggal mereka. Ini menunjukkan guru pelatih enggan di tempatkan di kawasan pendalaman tetapi lebih memilih kampung halaman masing-masing. Selain daripada faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakkan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di kawasan luar Bandar disebabkan stigma negative iaitu kemudahan terhad, maka ada yang sanggup menganggur dan menukarkan profesion daripada dihantar nun jauh di pedalaman (MyMetro, 28 Mac 2009). Kekurangan guru di pedalam juga telah menyebabkan kerajaan mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk mengajar di sekolah.Guru  GSTT tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar oleh itu ia akan memberi kesan kepada pencapaian pelajar di luar Bandar.

      Ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan guru di kawasan luar bandar terutama di Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah Orang Asli dan sekolah pendalaman.  Sekolah Kurang Murid ialah sekolah yang mempunyai bilangan pelajarnya kurang daripada 150 orang. Hampir 90% SKM ini berada dalam keadaan daif dan menghadapi masalah kekurangan peruntukan, kemudahan dan guru terlatih. Selain itu, penempatan guru di SKM sukar dilakukan kerana kebanyakkan berada jauh di pedalaman. Jumlah murid yang terlalu kecil telah menyebabkan SKM mengamalkan kelas bercantum iaitu mengajar sebuah kelas yang terdiri daripada pelbagai tahun persekolahan. Walaupun pada permulaanya guru ditempatkan di kawasan pendalaman tetapi setelah mengajar beberapa tahun, guru akan meminta ditukarkan di sekolah lain. Pertukaran guru yang sering kali berlaku akan memberi kesan terhadap pencapaian pelajar kerana setiap guru mempunyai cara pengajaran yang tersendiri. Pelajar mengambil masa untuk menyesuaikan dengan pengajaran guru yang baru.
Peratus Sekolah Kurang Murid mengikut bilangan murid

b)      Kekurangan guru terlatih

      Isu dalam penempatan guru yang kedua ialah isu kekurangan guru terlatih di luar Bandar. Perkara telah diakui oleh Tan Sri Muhyidin Yaasin, Menteri Pelajaran Malaysia bahawa kerajaan masih gagal menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan guru di Malaysia (Utusan online, 19/06/2012). Oleh itu, masalah kekurangan guru terutamanya di kawasan luar bandar  telah menyebabkan guru tidak dapat mengajar dalam opsyen sendiri di sekolah. Opsyen ialah pengkhususan dalam satu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Pengajaran guru di luar bidang opsyen akan mempengaruhi prestasi murid-murid. Masalah kekurangan guru-guru di sekolah menyebabkan ada golongan guru yang terpaksa mengambil alih kekosongan tempat tersebut. Di samping itu, lebihan guru-guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran di sekolah juga menyebabkan guru mata pelajaran yang mengajar opsyen major (seperti matematik) tidak dapat mengajar mata pelajaran majornya sebaliknya mete pelajaran lain.

      Contohnya pada tahun 2011, hampir 6000 guru mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah rendah telah ditempatkan untuk mengajar mata pelajaran lain disebabkan terdapat lebihan guru berbanding dengan kekosongan jawatan bagi mata pelajaran tersebut, (PPPM, 2013-2025). Berdasarkan contoh ini, sekiranya guru Bahasa Melayu tersebut perlu mengajar dalam matematik, ini akan memberi kesukaran kepada guru untuk mengajar subjek yang tidak mahir dan mempunyai masalah dalam penyampaian pengajaran. Selain itu, guru yang mengajar di luar opsyen kurang kompeten dari segi kandungan mata pelajaran dan tidak menguasai pandagogi kandungan mata pelajaran. Kekurangan ini telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi kurang berkesan kerana guru-guru gagal memudahkan proses mentafsir dan memindahkan sesuatu maklumat kepada murid-murid ( murid menjadi tidak faham dan bosan belajar). Oleh itu, pencapaian pelajar akan merosot.

3.3)            Sokongan ibu bapa

a)      Tahap kesedaran ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak

            Anak-anak tidak memberi tumpuan terhadap apa yang dipelajari jika ibu bapa kurang terlibat dalam pendidikan anak-anak di rumah (Shaverand & Walls,1998) dan ini menyebabkan pencapain akademik murid kurang cemerlang ( Lawson, 2003: Hoover, Dempsey & Sandler,1995). Tahap kesedaran ibu bapa di kawasan luar bandar terhadap pelajaran anak-anak adalah lemah. Kebanyakkan ibu bapa di kawasan luar bandar mempunyai tahap pendidikan yang rendah atau tidak mempunyai tahap pendidikan langsung. Latar belakang pendidikan ibu bapa dapat mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka. Ini adalah disebabkan mereka yang mempunyai pendidikan yang baik mampu untuk mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka melalui pengetahuan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam pelajaran. Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mempengaruhi prestasi pencapaian akademik anak-anak. Laporan OECD menunjukkan bahawa sebagai contoh, murid yang ibu bapanya melaporkan bahawa mereka membaca buku bersama anak mereka “setiap hari atau hampir setiap hari” atau “sekali atau dua kali seminggu” ketika tahun pertama di sekolah rendah mendapat skor yang lebih tinggi dalam PISA 2009+ berbanding murid yang ibu bapanya melaporkan bahawa mereka “tidak pernah atau hampir tidak pernah” atau hanya “sekali atau dua kali sebulan” membaca buku dengan anal mereka (PPPM, 2013-2025).  Tahap kesedaran antara ibu bapa di bandar di luar bandar telah menyebabkan berlakunya jurang pencapaian matematik di sekolah rendah antara di kawasan luar bandar dan kawasan bandar.


           
b)      Suasana persekitaran tempat belajar di rumah

            Penyediaan suasana persekitaran tempat belajar di rumah mempunyai kaitan dengan taraf sosioekonomi bagi sesebuah keluarga. Bagi keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang baik dapat menyediakan persekitaran tempat belajar yang baik berbanding keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang rendah. Selain itu, kesukaran dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti di kawasan pedalaman yang mana terdapat bilangan pelajar yang kecil dan cabaran untuk mengekalkan guru telah mengekang kapasiti kanak-kanak untuk meningkatkan prestasi pendidikan mereka (Rancangan Malaysian Kesepuluh,2010). Kemiskinan juga menyekat keupayaan mereka untuk membeli, menyimpan dan membaca buku. Ibu bapa tidak dapat menyediakan buku latihan tambahan untuk anak-anak mengulangkaji. Mereka hanya bergantung kepada pemberian buku teks oleh pihak sekolah. Peralatan sekolah seperti alat tulis juga tidak dapat disediakan dengan sempurna. Kebiasaanya juga anak-anak akan menggunakan kemudahan yang terdapat di sekolah seperti perpustakaan dan makmal komputer. Ini berkait rapat dengan faktor bahawa kanak-kanak dalam kalangan isi rumah yang miskin umumnya mempunyai tahap pencapaian yang rendah. Antara cabaran yang menghalanh kanak-kanak daripada isi rumah ini untuk menyertai secara berkesan dalam sistem pendidikan termasuk tahap pendapatan keluarga yang rendah, persekitaran di rumah yang tidak kondusif kepada pembelajaran dan kekurangan sumber kewangan untuk membeli peralatan sekolah. (Jurnal kebajikan masyarakat, Vol.37 jun 2011).


4.0)            Penutup

            Dalam mengatasi masalah jurang pencapaian matematik antara sekolah di bandar dan di luar bandar, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan. Bagi mengatasi masalah infrastruktur dan peralatan di sekolah luar bandar,  KPM akan menambah baik Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak seperti menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas serta menyediakan bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air ke sekolah. Di samping itu, bagi merapatkan jurang pencapaian akademik dengan menambah bilangan komputer, TV pendidikan, Video teleconferencing, SchoolNet. Makmal computer, kemudahan perkakasan, pengisian dan tenaga kerja yang mencukupi. Bagi mengatasi masalah jurang digital di luar bandar, KPM telah menyediakan makmal computer, menyediakan pusat akses, menambah bilangan computer dan menambah baik TV pendidikan. Untuk mengatasi masalah penepatan guru pula, KPM telah meningkatkan bilangan guru terlatih dan mengikut opsyen di kawasan pedalaman. KPM juga akan mewajibkan guru baru berkhidmat di kawasan pedalaman dan menambah baik insentif khusus kepada guru yang berkhidmat di pedalaman. Selain itu, untuk membantu murid dari keluarga miskin pula keraja telah menyediakan Prograsm Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS), pemberian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid, Skim Pinjaman Buku Teks dan bantuan Jaket Keselamatan kepada murid di kawasan pedalaman.


5.0)            Rujukan
Abdul Rasid Abdul Razzaq, Mohd Yusop Ab.Hadi, Ahmad Rizal Madar & Madiha Baharom. (2010). Kesediaan guru pelatih terhadap penempatan di sekolah bukan pilihan : kajian ke atas guru pelatih tahun akhir fakulti pendidikan teknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia : Jurnal Pendidikan.
Abd. Razak Zakaria & Noraini Mohd Salleh. (2011). Konteks Keluarga dan hubungannya dengan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak di sekolah menengah: Universiti Malaya: Jurnal Pendidikan Malaysia.
Baharin Abu & Norhidayah Ismail. (2007). Kesediaan guru pelatih fakulti pendidikan UTM berkhidmat di kawasan pedalaman: Universiti Teknologi Malaysia: Jurnal Pendidikan .
Hazura Mohamed, Hairulliza Mohamad Judi, Siti Fadzilah M. Noor & Zawiyah M. Yusof. (2012). Jurang digital dan pendidikan di luar bandar : tahap literasi teknologi maklumat dan komunikasi pelajar: Universiti Kebangsaan Malaysia : Jurnal Teknologi Maklumat dan Meltimedia Asia-Pasifik.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2005). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2009). Pendidikan Untuk Semua.
Siti Hajar Man. (2000). E-komunikasi dan pengurusan perubahan pendidikan : Kajian tinjauan di organisasi pendidikan bandar dan luar bandar di negeri Kedah Darul Aman: Universiti Utara Malaysia: Kertas Projek Sarjana.
Zakiyah Jamaluddin. (2011). Kemiskinan dan keciciran dalam pendidikan: Universiti Utara Malaysia: Jurnal Kebajikan Masyarakat.

1 comment: